Qada dan Qadar Allah

" Ustaz, kalau dah takdir Allah tentukan saya celaka, maka saya tetap akan celaka dan akhirnya masuk neraka. 
Maka, apa guna semua saya beramal? Saya usaha pun tiada guna kalau sudah ditakdirkan begitu. "

Sering dipersoalkan seperti ini kan?

Lalu seorang ustaz yang berkelulusan Sarjana Usuluddin dari Al-Azhar menjawab, " Pertama begini, harus kita fahami sebaik-baiknya apa yang dimaksudkan dengan Qada' dan Qadar.

Qada' bermaksud, sesuatu keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah, tidak akan dapat diubah lagi.

Contoh, kita dilahirkan jantina perempuan, bangsa Melayu, warganegara Malaysia, lahir dalam keluarga yang sangat miskin.

Lahir-lahir sudah begitu takdirnya. Kita tidak boleh mempertikaikan kenapa aku mesti jadi perempuan? Kenapa tidak lelaki?

Kenapa mesti bangsa Melayu? Kenapa tidak Arab, kan mesti cantik wajah hidung mancung.

Kenapa keluarga miskin? Orang lain lahir kaya?

Tak boleh pertikaikan kerana Allah sudah tetapkan Qada' kita begitu.

Yang namannya Qadar pula, ini yang boleh diubah.

Ia diubah dengan SEBAB ikhtiar pilihan manusia, dan ada AKIBAT dari pilihan tersebut.

Contoh, kita sedar kita dilahirkan miskin. Lalu manusia diberikan akal istimewa oleh Allah untuk berfikir, untuk mengubah dirinya menjadi lebih baik.

Bagaimana dia mencari rezeki, bagaimana dia berusaha sungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan akhirnya dia berjaya menjadi orang kaya yang hartawan.

Itu adalah dengan SEBAB usahanya, maka AKIBAT atau kesannya dia berjaya menjadi kaya.

Allah sudah menurunkan wahyunya dari langit (Al-Quran dan Sunnah). Allah sudah siap memberikan garis panduan untuk manusia memilih jalan kebaikan atau keburukan.

Kita berhak pilih, tiada orang boleh paksa kerana setiap keputusan adalah PILIHAN kita sendiri. 
Allah akan memudahkan jalan atas pilihan itu.

Jika hidayah kebaikan yang kita pinta, pasti Allah akan tuntun ke arah jalan kebaikan. Dan amalan kebaikan itu akan membawa jalan menuju ke syurga.

Tapi jika hawa nafsu dan kejahatan yang sering diniatkan, maka Allah izinkan juga kejahatan itu berlaku namun Allah tidak redha untuk pilihan tersebut. Dan amalan keburukan itu akan membawa jalan menuju ke neraka.

Comments

Popular Posts